25
MAY
2026

Kinabalu Paragliding Challenge XC Camp 2026 Perkukuh Pembangunan Paragliding Sabah dan Malaysia

Posted By :
Comments : 0

SIARAN MEDIA

KINABALU PARAGLIDING CHALLENGE XC CAMP 2026 BERAKHIR DENGAN JAYANYA DI KOTA KINABALU

KOTA KINABALU, SABAH – 24 MEI 2026

Kinabalu Paragliding Challenge XC Camp 2026 telah berakhir dengan jayanya pada 24 Mei 2026 di Borneo PARAdise, Kokol, Kota Kinabalu dengan menghimpunkan juruterbang paragliding dari seluruh Sabah dan Malaysia bagi dua hari aktiviti penerbangan, pertandingan, pembangunan kemahiran serta pengukuhan komuniti sukan udara.

Program ini telah berjaya dianjurkan oleh Mejar Haznain bersama pasukan Kelab Luncur Udara Kinabalu (KLUK), sekali gus membuktikan komitmen serta kepimpinan berterusan KLUK dalam membangunkan aktiviti paragliding dan komuniti juruterbang di Sabah.

Berlangsung pada 23 hingga 24 Mei 2026, program ini menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Accuracy Challenge, Cross Country (XC) Race to Goal serta penerbangan santai (Fun Flying) yang bertujuan memperkukuhkan kemahiran juruterbang, memupuk budaya penerbangan selamat serta terus memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai antara destinasi utama paragliding di Malaysia.

Keputusan Rasmi Pertandingan

Piala Adlin – Kategori Berpasukan
Johan: Bongawan Eagle
Naib Johan: ai SayTan
Tempat Ketiga: Ranau Spider

Kategori Keseluruhan Individu
Johan: Tan
Naib Johan: Asma
Tempat Ketiga: M9

Kategori Sumandak
Johan: Asma
Naib Johan: Fiona
Tempat Ketiga: Fizah

Kategori Ketepatan Tandem (Tandem Accuracy)
Johan: Olie
Naib Johan: Zachi
Tempat Ketiga: Owen

Piala M9 – Race to Goal
Johan: Raymond
Naib Johan: Mawie
Tempat Ketiga: Adie

Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang dan peserta atas komitmen, semangat kesukanan serta sumbangan mereka dalam memperkembangkan sukan paragliding di Malaysia.

MSAF turut merakamkan penghargaan khas kepada Mejar Haznain, jawatankuasa penganjur KLUK, para sukarelawan, pegawai teknikal serta semua pihak yang terlibat yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini.

Kinabalu Paragliding Challenge XC Camp terus menjadi platform penting dalam pembangunan juruterbang khususnya bagi disiplin ketepatan (accuracy) dan rentas desa (cross country), di samping mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab strategik pembangunan sukan udara dan pelancongan sukan.

Tapak penerbangan Kokol terus dikenali sebagai antara lokasi paragliding ikonik di Malaysia dengan keadaan cuaca penerbangan yang baik, pemandangan alam semula jadi yang unik serta sokongan komuniti setempat yang kukuh.

“Tahniah kepada semua juruterbang dan pemenang. Lebih daripada sekadar pertandingan, program seperti ini mengeratkan hubungan komuniti, perkongsian ilmu serta memperkukuhkan pembangunan masa depan sukan paragliding negara.”

TAMAT

Dikeluarkan oleh:
Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF)

About the Author

Leave a Reply

*