TAHNIAH KEPADA JURULATIH PARAMOTOR BERTAULIAH MSAF

Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua jurulatih paramotor yang telah berjaya memperoleh tauliah rasmi MSAF selepas melalui proses penilaian yang ketat dan berpiawaian.
Setiap jurulatih telah memenuhi syarat minimum pengalaman latihan termasuk membimbing sekurang-kurangnya dua (2) orang pelajar, selain dinilai dari aspek kemahiran teknikal, keselamatan penerbangan serta etika profesional.

Untuk makluman umum, peranan MSAF adalah menilai dan mentauliahkan jurulatih, bukannya melatih individu menjadi jurulatih paramotor. Pendekatan ini penting bagi memastikan standard latihan yang tinggi, keselamatan berterusan dan pembangunan sukan paramotor yang profesional di Malaysia.

Sekiranya terdapat juruterbang yang berhasrat untuk menjadi jurulatih, mereka disarankan mendapatkan latihan melalui jurulatih berpengalaman atau sekolah penerbangan paramotor yang diiktiraf dengan mengikuti kursus kejurulatihan paramotor secara formal dan berstruktur. Setelah memenuhi keperluan latihan dan pengalaman mengajar, barulah permohonan penilaian tauliah boleh dibuat kepada MSAF mengikut piawaian yang ditetapkan.

Bagi individu yang ingin mempelajari paramotor, sila muat turun aplikasi SAMS (Sport Aviation Management System) untuk mendapatkan senarai terkini jurulatih paramotor bertauliah MSAF di seluruh negara.
MSAF komited memastikan pembangunan sukan paramotor dilaksanakan secara selamat, berdisiplin dan mengikut standard antarabangsa.